HULU TERENGGANU – Warga emas berusia 102 tahun yang mesra dengan panggilan Tok Minah teruja menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Khamis.
Minah Abdullah, dari Kampung Pasir Nering, menjadi penerima vaksin tertua di daerah tersebut setakat ini selepas selesai dos pertama vaksin berkenaan.
Warga emas itu hadir ke PPV berkenaan ditemani anaknya, Zainab Yusof, 62, dan kelihatan tenang ketika melalui prosedur tersebut.
Sementara itu, Zainab berkata, ibunya sering bertanyakan tarikh suntikan vaksin Covid-19 dan memberitahu dia sudah bersedia untuk divaksin selepas namanya didaftarkan untuk menerima suntikan.
“Selepas tahu namanya sudah didaftarkan dia sering bertanya tarikh suntikan kerana mahu mencegah jangkitan Covid-19.
“Dia kelihatan teruja, bersemangat serta tidak takut untuk mengambil suntikan vaksin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPV berkenaan pada Khamis.
Menurut Zainab, ibunya dijadualkan menjalani suntikan dos kedua vaksin Covid-19 pada 28 Julai nanti.