Home Koronavirus TNB pastikan bekalan elektrik di pusat simpanan vaksin stabil

TNB pastikan bekalan elektrik di pusat simpanan vaksin stabil

0
TNB pastikan bekalan elektrik di pusat simpanan vaksin stabil

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Datuk Ir Baharin Din berkata, Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari ini disusuli dengan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari.

Menurutnya, bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah celsius.

“Perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

“TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baharin berkata, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.

“TNB juga melakukan sesi keterlibatan (engagement) dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

“TNB juga telah menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan,” katanya.

Sementara itu, Baharin turut memohon kerjasama kontraktor yang melakukan kerja-kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Sekiranya orang ramai menyedari sebarang kejanggalan pada pemasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, sila hubungi talian TNB CareLine 15454.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada Ahad ini dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Februari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here