Home Koronavirus TMJ titah Southern Volunteers bantu pusat vaksinasi

TMJ titah Southern Volunteers bantu pusat vaksinasi

0
TMJ titah Southern Volunteers bantu pusat vaksinasi

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan Southern Volunteers digerakkan untuk membantu di pusat-pusat vaksinasi di negeri ini sekali gus menggalakkan penglibatan belia untuk bersama-sama memerangi Covid-19.

Mengambil maklum keresahan rakyat Johor berkaitan program vaksinasi Covid-19 lebih-lebih lagi dengan peningkatan mendadak jumlah kes positif harian serta kematian sejak kebelakangan ini, baginda bertitah golongan belia juga harus memainkan peranan untuk membendung penularan wabak itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail menjelaskan satu daripada cara belia dapat membantu ialah dengan menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Antaranya dengan membantu menyebarkan berita yang disahkan mengenai vaksin dan menggalakkan ahli keluarga serta rakan-rakan mereka supaya mendaftar untuk vaksinasi.

“Dengan ini, saya menitahkan agar Southern Volunteers digerakkan bagi membantu program vaksinasi di pusat-pusat vaksinasi yang ditubuhkan di setiap daerah negeri Johor dari segi pendaftaran rakyat Johor untuk mendapatkan vaksin tersebut.

“Saya juga berharap sukarelawan Southern Volunteers dapat menggalakkan golongan belia untuk memainkan peranan lebih besar dalam membendung penularan wabak Covid-19. Semoga peranan Southern Volunteers dapat dioptimumkan bagi membantu menjayakan program vaksinasi serta meningkatkan keberkesanannya,” titah baginda.

Southern Volunteers merupakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan tahun lepas bagi menerajui aktiviti sukarelawan terutama melibatkan kaum belia di Johor. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here