Home Koronavirus Tinggalkan keluarga demi tugasan di pulau

Tinggalkan keluarga demi tugasan di pulau

0
Tinggalkan keluarga demi tugasan di pulau

ROMPIN – Meninggalkan keluarga untuk meredah ombak laut menaiki feri sebelum bertukar kepada bot-bot kecil sambil memikul kelengkapan ‘mendirikan klinik segera’ antara pengorbanan petugas kesihatan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pulau Tioman.

Seramai 50 petugas kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Rompin menempuh perjalanan atas air hampir dua jam dalam misi ‘menyahut panggilan pulau’ berkampung selama seminggu di Pulau Tioman untuk memberi suntikan vaksin jenis Sinovac kepada 1,700 penduduk, bermula 27 Jun lalu.

Bagi Norizan Ab Hamid, 45, seorang Juruterapi Pergigian di Klinik Kesihatan Rompin, tiada apa yang digusarkannya apabila ditugaskan di pulau itu, namun naluri seorang ibu amat tersentuh apabila terpaksa meninggalkan anak bongsunya, Ahmad Muqri Mohd Nofion, 3, yang belum pernah berenggang sebelum ini.

Melihat anaknya menangis dalam dukungan suami amat memilukan, namun beliau harus kuatkan hati demi tugas yang diamanahkan.

“Sebaik sahaja dimaklumkan perlu ke Pulau Tioman, saya dan suami berbincang tentang keadaan anak-anak. Alhamdulillah suami setuju mengambil cuti selama tiga hari manakala anak sulung yang berusia 18 tahun akan menjaga adik-adiknya, sementara menunggu suami pulang bekerja untuk dua hari lagi.

“Barangan keperluan asas telah siap dibeli dan bersyukur juga anak sulung Nur Auni boleh memasak juadah mudah dan berada di rumah kerana menunggu panggilan melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada Bernama semasa ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Marina Awam Pulau Tioman, di sini pada Rabu.

Norizan yang dikurniakan lima anak, juga bersyukur kerana mempunyai jiran yang baik hati yang memberi jaminan akan ‘sama-sama melihat anaknya dan membantu jika diperlukan’.

Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Rompin, Dr Zulkifli Harun pula berterima kasih kepada keluarga mertuanya kerana membantu menjaga isteri dan lima anak mereka berusia enam hingga 12 tahun yang menetap di Indera Mahkota, Kuantan sepanjang ketiadaannya.

Zulkifli anak kelahiran Bera menambah, ini merupakan kali pertama mereka berpisah untuk tempoh yang lama kerana walaupun bertugas di Rompin, beliau menempuh perjalanan hampir 300 kilometer setiap hari berulang alik ke Kuantan, melainkan jika ada perkara tidak mengizinkan.

“Sudah pasti saya tidak berfikir dua kali atau memberi alasan apabila menerima arahan tugas kerana ini adalah amanah sebaik sahaja saya memilih menjadi doktor sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Bagi Pembantu Perawatan Kesihatan Klinik Kesihatan Tanjung Gemok, Mohd Imran Abd Jabar, 41, membuat panggilan video setiap malam menjadi kewajipan sejak berkampung di Kampung Tekek, Pulau Tioman bagi menggantikan rutin harian menidurkan anaknya Nuriz Aleeya yang berusia dua tahun.

Mohd Imran, 41, berkata ini merupakan kali pertama beliau berjauhan untuk tempoh lama dengan keluarga kerana sebelum ini, paling lama dirinya dipanggil bertugas ke luar daerah ialah selama tiga hari sekitar enam tahun lalu.

“Saya tahu akan menyertai pasukan ke Pulau Tioman tiga hari sebelum kami berlepas. Walaupun notisnya agak singkat, namun saya tiada masalah kerana ini punca rezeki saya menyara keluarga,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here