SHAH ALAM – Pelan Bertindak Rakyat (Tindak!) iaitu gabungan pertubuhan masyarakat ditubuhkan bagi menggerakkan sokongan besar-besaran untuk rangkaian Pelan Tindakan Kecemasan terutama dalam sektor kesihatan dan ekonomi.
Tindak! melalui kenyataan medianya memaklumkan, pelan itu dilakukan sekumpulan pakar dasar kesihatan awam, Datuk Dr Amar Singh-HSS, Dr Khor Swee Kheng, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan disokong beberapa pertubuhan dan individu lain.
Antara ahli Tindak! ialah Presiden Belia Islam Malaysia, Faisal Aziz; Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin; Penyelaras Projek #BangsaMalaysia, Nathaniel Tan; Pengerusi Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional, Datuk Tan Yew Sing dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli.
Kenyataan itu turut menyebut, pelan yang akan dimaklumkan itu adalah bagi menuntut kerajaan melaksanakan dasar yang dibuat bagi melawan Covid-19 dan menjamin kebajikan rakyat selama mana wabak ini masih belum diatasi.
“Pelan Tindakan Kecemasan ini disediakan oleh kelompok pakar berkenaan dasar yang bersifat bebas dengan rangka polisi terperinci yang perlu dilaksanakan segera dan tanpa penangguhan.
“Kegagalan melaksanakan polisi seperti ini akan mengakibatkan jumlah kematian meningkat dan kadar jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi serta memburukkan lagi isu kemelaratan hidup akibat tekanan ekonomi.
“Walaupun kita tidak perlu menimbulkan rasa panik dan cemas namun pihak pemerintah seolah-olah tidak menganggap masalah ini serius. Sekiranya mereka tidak bertindak dalam keadaan penuh kewaspadaan dan serius, maka rakyat akan melakukan sesuatu untuk mereka berwaspada,” kata kenyataan itu.
Tindak! akan mengkaji Pelan Tindakan Kecemasan dan meringkaskan tuntutan utama yang dapat dilakukan susulan perancangan yang akan digerakkan menerusi sokongan massa.
Menurut kenyataan itu juga, sebagai inisiatif akar umbi dari rakyat, Tindak! akan memastikan keprihatinan dan suara semua rakyat didengar terutama membabitkan petugas barisan hadapan Covid-19 yang semakin terbeban.
“Kita secara jelas memerlukan pendekatan menyeluruh masyarakat dan seharusnya memperakui tanggungjawab bersama untuk membawa penyelesaian menerusi pendekatan kepimpinan dari rakyat.
“Sekiranya pihak berkuasa terus bertindak terlalu perlahan, kami akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran (yang tidak melibatkan perhimpunan besar-besaran secara fizikal, kerana keadaan Covid-19) untuk menekan pihak berkenaan segera melaksanakan tuntutan tersebut.
“Kami merancang untuk mengumumkan senarai tuntutan pada akhir minggu ini,” kata kenyataan itu.