Home Koronavirus Tiga hospital di Selangor urus jenazah Covid-19

Tiga hospital di Selangor urus jenazah Covid-19

0
Tiga hospital di Selangor urus jenazah Covid-19

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat yang diharap dapat mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan dan limpahan jenazah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat tiga hospital dikhususkan untuk menguruskan jenazah mangsa wabak sama ada Muslim atau bukan Islam iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang.

Beliau berkata, tanah perkuburan yang dikhususkan untuk pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bagi yang beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Menurutnya, bagi yang bukan Islam pula, jenazah mangsa berkenaan akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian.

“Saya turut berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi menyelaraskan urusan jenazah yang Bukan Warga Negara (BWN).

“Adalah diharapkan dengan adanya inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat ini, masa yang diambil dalam menguruskan jenazah dapat disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan dan limpahan jenazah.

“Semoga semua usaha ini dapat memelihara kebajikan rakyat serta meletakkan aspek kesihatan awam sebagai salah satu agenda utama Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, rakyat di negeri itu juga digesa agar terus berdisiplin dan menjaga keselamatan diri serta keluarga kerana hanya dengan solidariti kekitaan akan dapat memberi kemenangan dalam peperangan menggempur Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here