Home Koronavirus Tidak patuh SOP punca penularan Covid-19 di Pahang

Tidak patuh SOP punca penularan Covid-19 di Pahang

0
Tidak patuh SOP punca penularan Covid-19 di Pahang

KUANTAN – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah menjadi penyebab kepada peningkatan kadar kes positif Covid-19 di Pahang secara mendadak.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan itu disebabkan sikap masyarakat yang menganggap ancaman wabak Covid-19 bukan sesuatu serius sehingga mereka leka untuk mematuhi SOP.

Justeru, tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan pematuhan terus dilaksanakan.

“Kita tengok masyarakat masih lagi menganggap bahawa pandemik ini satu perkara biasa-biasa dan itu punca kepada peningkatan kes Covid-19. Jadi, kita kena lebih bertegas dalam mengenakan tindakan serta mengawal pandemik ini supaya tidak menjadi lebih teruk.

“Bila sudah teruk baharu hendak ambik tindakan, itu susah terlewat, jadi elok kita bermula daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri di Perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda, Exco Komunikasi dan Multimedia, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM580,000 untuk membantu golongan yang memerlukan menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Jelasnya, bantuan itu akan mula diagihkan kepada semua menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen Pahang serta dibantu Majlis Tindakan Sosial Negeri pada Isnin.

“Kita minta kerjasama ADUN dan ahli Parlimen di Pahang meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman Covid-19.

” Ia bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap kesihatan hingga mengakibatkan kematian, bahkan turut memberi impak terhadap struktur sosial terutamanya kesan terhadap ekonomi setempat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here