Home Koronavirus ‘Tidak libatkan pelancong, hanya pindah pesakit Covid-19 ke PKRC’

‘Tidak libatkan pelancong, hanya pindah pesakit Covid-19 ke PKRC’

0
‘Tidak libatkan pelancong, hanya pindah pesakit Covid-19 ke PKRC’

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengesahkan bahawa bas yang membawa pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands tidak melibatkan pelancong, sebaliknya ia prosedur biasa pemindahan pesakit positif dari daerah itu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemindahan pesakit menggunakan bas itu dilakukan pada 9 November lalu.

Menurutnya, hanya sembilan pesakit terlibat di mana dua kes dihantar ke PKRC Maran, dua kes ke PKRC Gambang dan lima kes ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM).

“Situasi terkawal dan hanya melibatkan prosedur biasa di mana pesakit terlibat perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit terdiri golongan kanak-kanak dan pesakit komorbid,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tersebut yang tular di laman sosial melalui berita bertajuk ‘Pengunjung Terkandas ‘Seram’, Kecoh Bas Bawa Pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands’ hingga mendapat pelbagai maklum balas netizen.

Dr Nor Azimi berkata, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.

Menurutnya, notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini hanya melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.

“Sehingga 16 November 2021, kes aktif di daerah Cameron Highlands sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya kes tempatan.

“Status Covid-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan mukim berstatus kuning (Ringlet),” katanya.

Katanya, masyarakat diminta agar terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.

“Kita belum menang lagi, namun dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, kita akan menang dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here