Home Koronavirus Tiada ‘walk-in’ untuk dapatkan vaksin

Tiada ‘walk-in’ untuk dapatkan vaksin

0
Tiada ‘walk-in’ untuk dapatkan vaksin

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ tidak dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu di mana-mana PPV termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual pada hari yang ditetapkan.

CITF berkata, ia telah membangunkan satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin tanpa menganggu perancangan logistik di PPV selain dapat mengelakkan kesesakan terutama ketika kes Covid-19 harian meningkat.

CITF dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” katanya.

CITF berkata, bagi PPV AZ pula satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Tular di media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here