Home Koronavirus Tiada kuarantin masuk Sabah bagi individu lengkap vaksinasi

Tiada kuarantin masuk Sabah bagi individu lengkap vaksinasi

0
Tiada kuarantin masuk Sabah bagi individu lengkap vaksinasi

KOTA KINABALU – Tiada lagi syarat kuarantin wajib terhadap individu lengkap vaksinasi untuk masuk ke Sabah, kecuali ketibaan dari luar negara, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap Covid-19 negeri menerusi akaun Twitternya berkata demikian sebagai merujuk prosedur operasi standard (SOP) terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah berhubung Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negeri itu yang dikeluarkan pada Isnin.

Berdasarkan SOP tersebut, kuarantin wajib digugurkan kecuali bagi individu yang belum lengkap divaksinasi, individu bergejala sewaktu saringan kemasukan di pintu masuk dan ketibaan dari luar negara.

Bagaimanapun, setiap individu yang ingin masuk ke Sabah perlu mendapatkan kebenaran polis untuk rentas negeri serta membuat ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif disahkan oleh klinik dan makmal melakukan ujian berkenaan.

Tempoh sah laku ujian saringan Rapid Antigen (RTK-Ag) adalah sehari manakala ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) adalah tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah, selain perlu mengisi borang deklarasi kesihatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here