Home Koronavirus Tiada kes positif Covid-19 libat pengembara China

Tiada kes positif Covid-19 libat pengembara China

Tiada kes positif Covid-19 libat pengembara China

Tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengembara China yang memasuki negara ini menerusi pintu masuk antarabangsa sejak 8 Januari lalu. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan 28,705 pengembara China yang memasuki negara ini menerusi pintu masuk antarabangsa (PMA) dalam tempoh 10 hari sejak 8 Januari lalu.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, hanya seorang daripada pengembara tersebut dikesan mengalami demam semasa saringan dilakukan.

“Ujian RTK-Ag yang dijalankan ke atas pengembara tersebut adalah negatif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kerjasama bersama negara-negara ASEAN dan juga China.

“Kementerian akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, sejak pembukaan sempadan China pada 8 Januari lalu, kes harian Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia kekal di bawah 500 kes.

Malah, ujarnya, pelaporan kes harian Covid-19 kekal tiga digit sejak 17 Disember 2022.

“Selain itu, sejak dua minggu lalu, berlaku peningkatan trend dalam pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya, pengambilan dos penggalak pertama pada 1 Januari meningkat daripada 49.8 peratus atau 16,279,746 dos kepada 49.9 peratus iaitu sebanyak 16,292,524 dos.

“Dos penggalak kedua juga menyaksikan peningkatan iaitu sebanyak 2.2 peratus atau 733,668 dos berbanding 1.9 peratus atau 633,941 sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, KKM ingin menasihatkan individu yang belum menerima dos primer vaksin dan dos

penggalak vaksin Covid-19 agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang khususnya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here