Home Koronavirus Tiada kes miokarditis, perikarditis susulan penggunaan vaksin mRNA

Tiada kes miokarditis, perikarditis susulan penggunaan vaksin mRNA

0
Tiada kes miokarditis, perikarditis susulan penggunaan vaksin mRNA

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kes miokarditis dan perikarditis susulan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA dikesan di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu keselamatan berkaitan perkara itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merumuskan bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif dan penggunaannya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak terjejas.

“Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Miokarditis merupakan radang pada otot jantung manakala perikarditis pula merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung.

Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis dan perikarditis termasuk sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

Kenyataan Dr Noor Hisham itu susulan laporan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura baru-baru ini, berhubung risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA.

Beliau berkata, ketika ini hanya satu jenis vaksin mRNA sahaja iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech yang diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.

Menurutnya hingga 13 Jun lepas, sejumlah 2,793,826 vaksin jenis itu diberikan kepada rakyat negara ini melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116, 867 dos kedua.

“Sehingga kini tiada kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) atau kesan tidak diingini dialami selepas menerima vaksin, spesifik untuk miokarditis atau perikarditis yang diterima oleh NPRA dan KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mendapati tiada tindakan regulatori yang diambil oleh badan rujukan antarabangsa lain seperti Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke atas produk vaksin Covid-19 jenis mRNA.

“Penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubung kait isu ini dengan vaksin Covid-19 jenis mRNA.

“KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here