Home Koronavirus Tiada keperluan tutup semua sekolah: Aminuddin

Tiada keperluan tutup semua sekolah: Aminuddin

0
Tiada keperluan tutup semua sekolah: Aminuddin

SEREMBAN – Kerajaan negeri Sembilan berpendapat tiada keperluan untuk menutup semua sekolah melainkan hanya sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 sahaja.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, masyarakat tidak seharusnya panik kerana penularan kes positif Covid-19 di sekolah termasuk di negeri ini masih lagi terkawal.

“Saya dimaklumkan di Negeri Sembilan hanya dua buah sekolah sahaja yang ada kes iaitu satu sekolah biasa dan satu lagi sekolah berasrama penuh.

“Bagaimanapun ia telah dapat dikawal dengan baik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Asnaf di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan untuk menutup semua sekolah susulan penularan kes positif Covid-19 di sekolah.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan hanya anak yang betul-betul sihat sahaja dibenarkan pergi ke sekolah.

Ini kerana ujarnya, ada yang masih menghantar anak-anak ke sekolah meskipun mengetahui yang anak mereka tidak sihat.

“Keluarga itu sendiri kena faham bahawa keperluan hari ini adalah bukan sahaja menjaga kesihatan diri sendiri saja tapi juga kesihatan masyarakat keseluruhannya.

“Kadang-kadang mereka tahu mereka demam, tapi mereka keluar, ini perkara yang berlaku, ada yang hantar anak ke sekolah walaupun ada di antara mereka yang pakai ‘gelang’, sepatutnya anak pun tak perlu ke sekolah buat sementara waktu, “katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengenakan kompaun kepada sekolah yang mempunyai kes positif kerana percaya pihak sekolah serta pelajar-pelajar sudah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Hadir sama, Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Mustafa.

Pada Jumaat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 dekat sini diarahkan ditutup sehingga 29 April depan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas terdapat pengesanan 17 kes positif di sekolah tersebut.

Seramai 179 individu termasuk pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu pula telah dikuarantin di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai berikutan terdapat tiga kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here