KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tidak pernah menghalang warga asing termasuk rakyat Thailand yang memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk pulang ke negara mereka, kata Pengarah Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.
Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu juga, pintu sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS ) Rantau Panjang, di sini turut dibuka untuk kemudahan warga Thailand pulang ke negara mereka.
“Sempadan negara di Rantau Panjang memang dibuka sejak 18 Mac tahun lalu untuk warga luar khususnya Thailand keluar dan pulang ke negara mereka.
“Cuma Thailand mengenakan syarat sebelum pulang, rakyatnya perlu mendaftar dengan kedutaan mereka di Kuala Lumpur, atau sekiranya berada di Kelantan mereka boleh mendaftar di Pejabat Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Thailand sedang membuat persediaan termasuk mengadakan saringan Covid-19 yang lebih ketat di sempadannya sebagai persediaan negara itu menerima kepulangan rakyatnya yang sebelum ini terkandas di Malaysia. – Bernama