Home Koronavirus Thailand giat kempen besar-besaran vaksinasi, pulih ekonomi

Thailand giat kempen besar-besaran vaksinasi, pulih ekonomi

0
Thailand giat kempen besar-besaran vaksinasi, pulih ekonomi

BANGKOK – Pensyarah Jimmy Tangjaitrong, 38, tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin bagi melindungi diri serta orang di sekelilingnya daripada Covid-19 dan berharap orang lain juga berbuat demikian.

“Vaksin Covid-19 adalah satu perlindungan. Ia tidak dapat melindungi kita 100 peratus, namun pakar-pakar mengakui ia dapat mencegah jangkitan untuk jangka panjang dan mengurangkan risiko kematian.

“Ini mungkin perkara terbaik yang dapat kita lakukan untuk melindungi diri kita sendiri dan orang lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat vaksin Covid-19 Sinovac di University of the Thai Chamber of Commerce (UTCC) di Bangkok.

Jimmy adalah antara empat juta penduduk Thailand yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19-19 AstraZeneca atau Sinovac sejak pelancaran kempen vaksinasi sejak 28 Februari lalu.

Thailand merancang untuk mempercepat vaksinasi, dimulai dengan kempen besar-besaran mulai 7 Jun bagi mencapai 70 peratus daripada hampir 70 juta penduduknya, termasuk tiga juta rakyat asing yang tinggal di negara ini bagi mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, Thailand dapat mencapai sasaran itu seawal September.

Kes Covid-19 di Thailand secara relatifnya rendah hingga pertengahan Disember sejak ia bermula di pasar di Samut Sakhon, sebuah wilayah di barat daya Bangkok. Kemudian menyusul penularan baharu pada April, membabitkan kluster tempat hiburan di Bangkok. Varian Alpha yang sangat mudah menular mendorong peningkatan jangkitan di seluruh negara.

Thailand kini sedang bergelut dengan gelombang jangkitan ketiga, yang terburuk di negara ini. Sehingga 3 Jun, sebanyak 169,348 kes Covid-19 dilaporkan dan kematian berjumlah 1,146 sejak ia bermula Januari tahun lalu.

Jangkitan semasa, sejak awal April mencatatkan sejumlah 140,485 kes dan 1,052 kematian.

Pemberian suntikan vaksin dapat dipercepatkan melalui pelancaran kempen besar-besaran apabila vaksin AstraZeneca yang dikilangkan di Thailand tersedia.

Syarikat Biopharmaceutical AstraZeneca akan memberikan 1.8 juta dos vaksin kumpulan pertama yang dihasilkan dalam negara oleh Siam Bioscience Co., Ltd. (Siam Bioscience) bagi tujuan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sopon Iamsirithawon berkata, Thailand menyasarkan untuk memberi sekitar 500,000 dos sehari.

Setakat ini, Thailand telah memperoleh 61 juta dos vaksin AstraZeneca dan enam juta dos Sinovac China.

Buat masa ini, Thailand berusaha untuk mendapatkan jutaan lagi dos vaksin lain.

Pengarah Institut Vaksin Dr Nakorn Premsri berkata, Thailand akan mendapatkan tambahan 10 hingga 15 juta dos vaksin Sinovac yang dijangka mula dihantar bulan ini.

“Pada masa ini, kami sedang berunding untuk membeli 20 juta dos vaksin Covid-19 yang dibangunkan Pfizer Inc dan BioNTech dan lima juta dos vaksin Johnson & Johnson. Vaksin ini akan diberikan pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Tambahnya, Thailand akan mengimport vaksin alternatif seperti vaksin Sinopharm dan Covid-19 Sputnik V untuk melengkapkan kempen vaksinasi kerajaan.

Sehingga kini, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand telah meluluskan lima vaksin iaitu Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm tetapi setakat ini hanya dua yang pertama tersedia untuk digunakan.

Dalam usaha untuk meningkatkan vaksinasi dalam negara, pelbagai langkah dan strategi telah dilaksanakan seperti menambah 25 pusat vaksinasi di Bangkok.

Kerajaan juga mengubah strategi dengan memfokuskan kawasan dan sektor yang paling terjejas termasuk tempat pelancongan, kem pekerja pembinaan, kilang dan penjara untuk menghentikan penularan.

Bangkok, turut menyasarkan lima juta atau 70 peratus penduduknya akan disuntik vaksin Covid-19 pada Julai untuk mengawal keadaan.

“Sekiranya kita tidak dapat mengendalikan situasi di Bangkok, kita tidak dapat mengawal penularannya di wilayah lain,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong baru-baru ini.

Namun, masih ramai teragak-agak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di Thailand. Tinjauan firma YouGov menunjukkan keraguan terhadap vaksin meningkat mendadak.

Dalam tinjauan pada Januari, 83 peratus rakyat Thailand bersedia untuk divaksin, tetapi pada Mei jumlahnya menurun menjadi 63 peratus, lebih rendah berbanding Vietnam, Malaysia dan Filipina masing-masing pada 83 peratus, 77 peratus dan 66 peratus.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Thailand, Dr Daniel Kertesz berkata, keutamaan akan menjadi kunci kejayaan dalam pelaksanaan vaksinasi Thailand.

“Thailand (ketika ini) berada dalam situasi yang sama dengan kebanyakan negara di dunia, banyak orang mahu divaksin tetapi bekalan vaksin yang terhad melambatkannya.

“Saya berpendapat meletakkan keutamaan akan menjadi kejayaan utama pelancaran vaksinasi Thailand, ” katanya pada taklimat mengenai Pelan Vaksin Kebangsaan Thailand baru-baru ini.

Dr Daniel berkata, WHO mengesyorkan kumpulan berisiko tinggi dan kumpulan yang terdedah diberi vaksin terlebih dahulu sekiranya bekalann yang ada terhad.

Thailand terus mencatat angka empat digit kes baharu Covid-19 setiap hari selama hampir dua bulan, kerajaan sedang bertungkus lumus menambah bekalan vaksin untuk memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang begitu pantas merebak.

Kempen vaksinasi harapan tunggal dan terbaik untuk merancakkan kembali ekonomi dan kehidupan yang normal. Tiada yang akan selamat sehingga semua orang selamat. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here