Home Koronavirus Teruja dapat slot janji temu vaksin selepas sejam mendaftar SELangkah

Teruja dapat slot janji temu vaksin selepas sejam mendaftar SELangkah

0
Teruja dapat slot janji temu vaksin selepas sejam mendaftar SELangkah

SHAH ALAM – Hampir 4,000 permohonan untuk mendapatkan janji temu suntikan vaksin Covid-19 diterima menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga sejak ia dibuka pada awal Julai.

Wakil rakyatnya, Rodziah Ismail bagaimanapun berkata, hanya 2,500 individu diberi tarikh janji temu untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, individu tersebut terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), peniaga pasar malam dan pasar pagi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), petugas masjid, pengasuh kanak-kanak dan lain-lain.

“Saya tidak sangka apabila pendaftaran mencecah hampir 4,000 tetapi kita terpaksa utamakan mereka yang tinggal dalam kawasan untuk memudahkan perjalanan mereka ke PPV di sini.

“Saya harap semua dos vaksin itu dapat dihabiskan hari ini,” katanya ketika melawat Program Selvax Komuniti Dun Batu Tiga, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Rodziah yang meninjau keadaan di PPV tersebut juga berkata, keadaan terkawal dan agak santai.

Namun begitu, beliau berkata, ramai yang tidak hadir kerana mereka telah mendapat janji temu suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera, sudah menerima dos pertama suntikan atau sedang menjalani kuarantin.

Salah seorang penerima vaksin, Mohammad Nashuha Ishak, 27, berkata, dia teruja apabila mendapat tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 di PPV Hotel De Palma, Seksyen 19 dalam tempoh sejam mendaftar di aplikasi SELangkah.

Mohammad Nashuha yang bekerja sebagai pegawai jualan berkata, usahanya untuk mendapatkan tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera tidak membuahkan hasil.

“Kawan saya mencadangkan supaya mendaftar melalui aplikasi SELangkah pada Khamis, tak sampai sejam, saya berjaya mendapatkan tarikh janji temu suntikan vaksin pada hari ini di PPV ini.

“Kita tahu kes Covid-19 di Selangor semakin meningkat, jadi kita mahu suntikan vaksin dilakukan segera dengan memberikan tarikh janji temu dengan cepat,” katanya.

Penerima vaksin, Fuziah Abdul Rahman, 44, berasa lega melihat perjalanan vaksinasi di PPV Hotel De Palma Seksyen 19 yang sangat lancar dan tenang.

Dia yang bekerja sebagai pendandan rambut menerima panggilan dari DUN Batu Tiga pada pagi Jumaat untuk hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin selepas sebulan mendaftar melalui aplikasi SELangkah.

Fuziah turut membawa anaknya, Dina Nadia Zafrey, 17, untuk memberi pendedahan awal berkenaan keadaan di PPV yang tidak seperti dihebahkan dalam media sosial.

“Sepanjang saya berada di sini, semua prosedur vaksinasi sangat mudah dan tenang, orang pun tak ramai.

“Kita kena tunjukkan persekitaran di PPV yang tidak terlampau padat seperti yang dihebahkan melalui media sosial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here