Home Koronavirus Terengganu perhebat kempen kesedaran vaksinasi sepanjang Ramadan

Terengganu perhebat kempen kesedaran vaksinasi sepanjang Ramadan

0
Terengganu perhebat kempen kesedaran vaksinasi sepanjang Ramadan

KUALA NERUS – Kerajaan negeri akan memperhebatkan kempen kesedaran vaksinasi untuk kanak-kanak termasuk melalui slot tazkirah di masjid dan surau sepanjang Ramadan kali ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini berikutan Terengganu masih berada di kedudukan kedua tercorot dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) sejak ia dilaksanakan pada Februari lepas.

Beliau berkata, setakat Jumaat hanya 12.4 peratus (22,240 orang) daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di seluruh Terengganu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

“Pelbagai kempen telah dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri termasuk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kuliah Maghrib mengenai kepentingan vaksin, namun tahap kesedarannya masih sangat rendah.

“Ini kerana mitos yang telah mempengaruhi ibu bapa yang tersebar melalui media sosial sedangkan di Terengganu sendiri tiada lagi kesan sampingan serius dilaporkan berlaku terhadap kanak-kanak yang menerima vaksin itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan dan Pelancaran Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong di sini pada Sabtu.

Tambahnya, walaupun berdepan cabaran besar untuk mengubah minda negatif ibu bapa terhadap vaksin kanak-kanak, kerajaan negeri tetap akan berusaha menggunakan pendekatan lebih berhemah dalam menyantuni mereka.

“Kita berdoa agar ibu bapa ini terbuka hati mereka kerana dengan fasa peralihan ke endemik sekarang, tiada lagi sekatan atau peraturan ketat untuk majlis sosial yang meningkatkan lagi risiko jangkitan, namun jika ada vaksin ia dapat memberi perlindungan kesihatan anak masing-masing,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here