Home Koronavirus Terengganu capai 80 peratus populasi dewasa lengkap vaksin awal Oktober

Terengganu capai 80 peratus populasi dewasa lengkap vaksin awal Oktober

0
Terengganu capai 80 peratus populasi dewasa lengkap vaksin awal Oktober

KUALA NERUS – Sebanyak 80 peratus populasi dewasa di Terengganu dijangka menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada hujung bulan ini atau awal Oktober depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sasaran itu diyakini dapat dicapai melalui penghantaran lebih kurang 560,000 dos vaksin tambahan ke Terengganu secara berperingkat pada bulan ini.

“Untuk Ogos semua sekali sebanyak 590,000 dos bekalan vaksin telah diserahkan di Terengganu. Untuk September pula jangkaan kita dalam 560,000 dos. Kita ada jadual lengkap setiap minggu penghantaran vaksin (ke Terengganu).

“Ia menepati jadual sasaran kita untuk menyelesaikan (80 peratus populasi dewasa) hujung bulan ini. Kita hendak selesaikan sebelum musim tengkujuh akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Misi Bantuan Air bagi penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang kini terjejas dengan krisis bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu, di Jambatan Angkat, di sini pada Sabtu.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), setakat semalam, sebanyak 53 peratus populasi dewasa di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 85 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ahmad Amzad mengakui terdapat kelewatan penghantaran vaksin ke negeri-negeri yang disifatkan tidak mempunyai kes Covid-19 terlalu tinggi termasuk Terengganu, ekoran kerajaan sebelum ini menumpukan proses vaksinasi ke lokasi yang mempunyai kes positif terlalu tinggi seperti di Lembah Klang.

Namun katanya, setelah lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup berikutan sasaran vaksinasi kepada penduduk di situ sudah dicapai, kerajaan kini akan mengedarkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri-negeri lain termasuk Terengganu.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here