Home Koronavirus Terengganu buka PKRC baharu di Stadium Negeri

Terengganu buka PKRC baharu di Stadium Negeri

0
Terengganu buka PKRC baharu di Stadium Negeri

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan membuka sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dalam masa terdekat bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, PKRC yang akan beroperasi di Stadium Negeri dengan kapasiti 400 katil merupakan persiapan awal bagi menangani peningkatan kes yang memerlukan bantuan oksigen.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang berusaha membuka PKRC Stadium Negeri bukan sebab PKRC sedia ada sudah penuh tapi sebagai persiapan awal bagi menghadapi kes pesakit memerlukan bantuan oksigen.

“JKNT memerlukan fasiliti sesuai untuk menambah kapasiti katil yang boleh digunakan untuk bantuan oksigen (pesakit kategori 4) kepada 400 katil, berbanding sekarang hanya 267 katil,” katanya pada Jumaat.

Menurut Dr Alias, Stadium Negeri merupakan pilihan terbaik kerana pelbagai kelebihan yang ada di sana dan pembukaan PKRC baharu itu diketuai Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan dibantu oleh pelbagai agensi lain.

Beliau berkata, lokasi stadium yang berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memudahkan urusan sekiranya diperlukan selain mampu memuatkan lebih ramai pesakit.

“Stadium itu juga ada kemudahan letak kenderaan, bilik untuk kegunaan kakitangan kesihatan dan bukan kesihatan selain petugas dapat memantau pesakit dengan lebih jelas kerana dapat melihat pesakit sepanjang masa,” katanya.

Jelas Dr Alias, Terengganu mempunyai tujuh PKRC yang mampu memuatkan 3,193 pesakit dalam satu masa dan penggunaan katil setakat ini adalah sekitar 65 peratus.

Tujuh PKRC itu ialah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut, Universiti Teknologi MARA Kuala Terengganu, Kem Wawasan Besut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu, Penjara Marang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman.

Pada Khamis, Terengganu merekodkan 621 kes positif Covid-19 baharu menjadikan jumlah kes positif aktif negeri ini berjumlah 4,943 kes.

Selain itu, terdapat penambahan satu kluster baharu iaitu Kluster Kampung Tasek Kubu dan sebanyak empat kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here