Home Koronavirus Tanah kubur hampir penuh, mampu bertahan dua minggu

Tanah kubur hampir penuh, mampu bertahan dua minggu

0
Tanah kubur hampir penuh, mampu bertahan dua minggu

KUALA LUMPUR – Ruang Tanah Perkuburan Islam di Jalan Kubur, Pantai Dalam di sini hampir habis digunakan dan berbaki lebih kurang 50 petak sahaja yang dijangka mampu bertahan dalam tempoh dua minggu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan Masjid Jamek Al-Khadijiah dalam satu mesyuarat secara maya pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, permasalahan itu telah dibangkitkan sejak April lalu apabila kawasan tanah perkuburan semakin berkurangan dan beberapa tindakan telah diambil bagi mengatasi permasalahan berkenaan.

“Permasalahan itu semakin membimbangkan apabila empat ke lima bulan kebelakangan ini jumlah kematian meningkat dengan kadar agak tinggi.

“Adakala sebanyak lima hingga enam kematian dicatatkan sehari antara punca ruang tanah perkuburan ini semakin berkurangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Fahmi berkata, beberapa tapak baharu telah dirancang untuk mengatasi permasalahan ini, namun mengambil masa untuk penukaran status pemilikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Proses mempersiapkan kawasan itu sebagai tanah perkuburan juga dijangka mengambil masa selepas proses tukar status itu selesai, namun hasil perbincangan yang dibuat baru-baru ini dijangka prosesnya mampu dipercepatkan,” katanya.

Tambah beliau, buat sementara waktu Jawi memaklumkan kemungkinan menghantar jenazah warga Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam ke Raudhatul Sakinah Bukit sekiranya tanah kubur di kawasan itu telah digunakan sepenuhnya.

“Harapan saya tapak baharu dapat disiapkan dan boleh digunakan dalam masa setahun ini. Penduduk tentunya berharap mereka dapat disemadikan di kawasan Pantai Dalam yang telah menjadi kampung halaman mereka,” katanya.

Katanya, terdapat 75 kubur lama berada di kawasan itu termasuk yang telah dikebumikan sejak 1870-an telah dimaklumkan kepada Jawi untuk rujukan dan tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here