BANGI – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang akan menambah sebanyak 151 buah katil wad bagi merawat pesakit Covid-19 di tahap 3, 4 dan 5 bermula minggu hadapan berikutan peningkatan pesakit di hospital tersebut.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, beberapa wad di hospital berkenaan juga akan diguna semula untuk dijadikan wad biasa dan menjadikan pusat rawatan harian sebagai tempat pesakit Covid-19 serta tidak lagi memberi servis rawatan harian sehingga dimaklumkan kelak.
Dr Sha’ari berkata, asrama doktor pelatih dan pegawai perubatan siswazah di HTAR juga akan dijadikan sebagai wad pesakit Covid-19.
“Setakat hari ini, kadar hospital melawan Covid-19 adalah sebanyak 85 peratus, jadi ia masih boleh menampung jika terdapat penambahan kes.
“Diharap penambahbaikan ini menjadikan hospital itu mampu menerima kes-kes Covid-19,” katanya ketika sidang media setelah melawat kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, di sini pada Sabtu.
Selain itu, Dr Sha’ari berkata, JKNS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadikan Pusat Latihan KKM di Hospital Sungai Buloh sebagai pusat rawatan berisiko rendah.
Beliau berkata, sebanyak empat daripada lapan blok di hospital berkenaan akan digunakan untuk menempatkan 1,200 pesakit jika diperlukan.
“Untuk memastikan perkara ini berjaya dilaksanakan, beberapa petugas akan dihantar ke situ dengan kerjasama KKM, setakat ini saya menerima petugas dari Perlis, Perak, Terengganu, dan Sabah untuk membantu dan akan ada lagi petugas yang akan ke sana untuk tujuan demikian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Sha’ari mengulas berkenaan isu penggunaan tempat parkir di Hospital Tengku Mizan sebagai tempat merawat pesakit Covid-19 yang tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya, bahagian tersebut memang direka untuk menghadapi sebarang bencana dan boleh diubah suai untuk kegunaan kecemasan bila diperlukan kerana setiap tiang di situ dilengkapi dengan ‘oxygen port’ untuk merawat pesakit.
Di samping itu. hospital tersebut juga digunakan untuk merawat kes-kes Covid-19 dan sebahagian kes bukan Covid-19 dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga dihantar ke hospital berkenaan bagi memastikan hospital berkenaan dapat menampung kes Covid-19.
“‘Field hospital’ juga diwujudkan di hospital berkenaan untuk menampung 100 katil pesakit, jadi keseluruhan hospital boleh menyediakan 150 katil untuk pesakit Covid-19 kategori 4.
“Pada masa sama, bilangan katil ICU juga dapat ditingkatkan di hospital itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Sha’ari berkata, Hospital Shah Alam akan kekal hospital yang tidak merawat pesakit Covid-19 supaya mereka boleh menerima sebarang kes kecemasan atau pembedahan penyakit lain.
Bagaimanapun, sebanyak 40 katil akan ditambah di bahagian kecemasan hospital berkenaan dalam masa dua minggu.
“Jika didapati terdapat kes Covid-19, kita akan letakkan pesakit tersebut di bahagian tersebut sementara dipindahkan ke hospital yang merawat kes Covid-19.
“Kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan sebarang keperluan akan dipertingkatkan. Pada masa ini kita masih bertahan untuk memberikan perkhidmatan dengan sempurna.
Selain itu, Dr Sha’ari berkata, penambahan sebanyak 40 katil dan peralatan perubatan turut dilakukan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) pada malam Jumaat, untuk menambah baik perkhidmatan di hospital itu.
Ujarnya, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) turut menerima 1,000 tong gas oksigen dan tabung gas bagi memastikan bekalan gas oksigen yang dihantar di situ mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19 pada kategori 3 dan 4 di sana.