TELUK INTAN – “Ayah suruh cucuk, ingatkan sakit, rupanya tak sakit langsung,” kongsi Husna Farisya Rosli, 10.
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz itu antara 30 kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Teluk Intan di sini pada Rabu.
Husna Farisya berkata, ayahnya beritahu suntikan itu penting bagi mencegah diri daripada dijangkiti wabak Covid-19.
“Sebelum ini pun ayah selalu ingatkan supaya selalu jaga diri dengan mengamalkan kebersihan dan penjarakan sosial.
“Dengan suntikan ini, saya jadi lebih yakin diri terutama bila nak ke sekolah nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.
Muhammad Ammar Wafiuddin Abdullah Zubair, 11, turut berkongsi rasa teruja apabila menerima suntikan berkenaan.
Dia yang hadir ditemani ayahnya turut mengakui sudah tidak sabar-sabar menerima suntikan vaksin sebaik kerajaan memberi kebenaran pelaksanaan program itu minggu lalu.
“Saya yakin dengan pengambilan vaksin ini, kita akan dapat jalani kehidupan sepertimana dahulu.
“Jadi saya harap kawan-kawan lain ambil suntikan ini untuk kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Irfan Hakimie Zainal Abidin, 10, datang bersama dua adiknya, Mohamad Ikhwan Nadrin, 8, dan Mohamad Izz Zafri, 6, untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini.
Kata Mohamad Irfan Hakimie, hadir bersama adik-beradik dapat mengurangkan sedikit rasa gementar ketika dicucuk.
“Along (panggilan diri) jadi semangat sebab adik-adik pun ada sekali. Mula-mula je takut sikit, lepas tu dah okey, doktor semua baik dan tak sakit pun,” katanya.
Ibu mereka, Fathiyah Nordin, 36, yang bekerja sebagai jururawat memang berhasrat untuk membawa tiga anaknya itu menerima suntikan dengan segera bagi membantu mengekang penularan varian baru.
Jelasnya, tuntutan kerja bersama suami, Zainal Abidin Dzuhir, 40, yang berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadikan keluarga mereka dalam golongan berisiko untuk dijangkiti.
“Saya sendiri pernah bertugas di wad pesakit Covid-19, jadi sudah tentu kebimbangan dijangkiti Covid-19 itu ada.
“Dengan suntikan ini, dapatlah saya menarik nafas lega, sekurang-kurangnya kita sudah buat pencegahan awal,” katanya.
PICKids di SPPV Hospital Teluk Intan dibuka setiap Rabu dan Khamis kecuali cuti umum dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari bagi sesi pagi dan sesi petang pada jam 2.30 petang hingga 3.30 petang.
Timbalan Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr Noor Azira Haron berkata, SPPV itu boleh menerima kehadiran 200 individu sehari dengan keutamaan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.
“Program ini baru dimulakan di hospital ini hari ini (Rabu) dan sambutan sangat menggalakkan. Kita jangkakan dalam tempoh satu ke dua minggu, lebih ramai kanak-kanak mendaftar dan menerima suntikan vaksin mereka di sini,” katanya.