Home Koronavirus Tadika, taska di zon merah Sarawak diarah tutup

Tadika, taska di zon merah Sarawak diarah tutup

0
Tadika, taska di zon merah Sarawak diarah tutup

KUCHING – Semua tadika dan taska yang berada dalam zon merah di Sarawak diarahkan ditutup selama 14 hari berkuat kuasa esok.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-kanak Negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata arahan itu susulan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengarahkan penutupan semua sekolah dalam zon merah selama dua minggu bermula esok, ekoran peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19.

“Sekiranya terdapat taska yang mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan, taska berkenaan perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada anak-anak petugas terbabit sahaja.

“Permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-kanak. Ini merupakan perkhidmatan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdapat sejumlah 2,795 tadika dan 234 taska yang berdaftar di Sarawak.

Penutupan pusat penjagaan kanak-kanak dalam zon merah itu melibatkan masing-masingnya 2,518 tadika dan 213 Taska. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here