Home Koronavirus ‘Syukur…kami dah lama tunggu giliran vaksin’

‘Syukur…kami dah lama tunggu giliran vaksin’

0
‘Syukur…kami dah lama tunggu giliran vaksin’

SUNGAI SIPUT – Bekas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq berusia 88 tahun menjadi individu tertua yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak MARA Liner di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong di sini pada Sabtu.

Long Senah dari Kampung Bawong, Lasah kelihatan bersemangat dan teruja meskipun hadir dengan dipimpin dan dibantu orang lain.

Dia mengakui gembira apabila tersenarai sebagai penerima vaksin kali ini kerana telah lama menantikan giliran itu.

“Memang dah lama tunggu giliran, sebab saya sedar saya antara golongan berisiko, jadi eloklah kena vaksin cepat-cepat, takut nanti kena jangkitan Covid-19 pula,” katanya.

Long menghargai kesungguhan kerajaan dalam menggalakkan pendaftaran vaksinasi dalam komuniti orang asli.

Katanya, usaha-usaha dilakukan itu telah berupaya mengubah mentaliti dan persepsi kelompok komuniti terbabit bahawa program vaksinasi penting bagi menjamin kesejahteraan semua.

“Kita kena sokong dan percaya dengan kerajaan lagi-lagi berkaitan hal kesihatan, harap selepas ini lebih ramai orang asli dapat suntikan vaksin,” katanya.

Bagi Ateh Ngah, 53, dari Kampung Takong Pos Perwoh berkata, pada mulanya dia bimbang untuk menerima suntikan tersebut setelah mendengar pelbagai cerita negatif, namun memilih untuk tidak percaya.

Dia yakin saranan kerajaan untuk semua golongan masyarakat divaksinasi adalah langkah terbaik bagi membendung penularan wabak berbahaya itu.

“Saya datang sebab kerajaan suruh. Memanglah takut tapi saya yakin ini terbaik untuk semua,” katanya.

Tok Batin Kampung Gentes Pos Piah, Arifin Long Chor, 45, gembira apabila diberi giliran menerima suntikan vaksin Covid-19 yang telah lama ditunggu-tunggu.

Katanya, ramai penduduk di kampungnya bersedia dan sudah tidak sabar menunggu giliran untuk disuntik setelah melihat tiada kesan buruk berlaku kepada mereka yang menerima suntikan lebih awal.

“Mula-mula memang susah untuk beri pemahaman kepada mereka kebaikan vaksin ini, namun selepas lihat semuanya baik-baik sahaja selepas dicucuk, jadi kerisauan itu berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Perjek Pos Legap, Ahad Sudin, 52, berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat orang asli.

“Saya amat bertuah telah diberikan vaksin, harap anak-anak buah saya di kampung dan yang lainnya juga diberikan kesempatan sama menerima suntikan ini,” katanya.

Mereka antara 100 orang terdiri 40 Tok Batin dan 60 warga emas orang asli yang menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama melalui perkhidmatan Bas Bergerak MARA Liner yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here