Home Koronavirus Suntikan penggalak Sinovac 94 peratus berkesan terhadap Omicron

Suntikan penggalak Sinovac 94 peratus berkesan terhadap Omicron

0
Suntikan penggalak Sinovac 94 peratus berkesan terhadap Omicron

KUALA LUMPUR – Data awal daripada kajian menunjukkan bahawa suntikan penggalak vaksin Sinovac adalah 94 peratus berkesan terhadap varian Omicron.

Menurut Pharmaniaga Bhd dalam kenyataan pada Sabtu, kajian oleh Sinovac Biotech Co Ltd melibatkan dua strain varian baharu dari Hong Kong.

Keputusan makmal menunjukkan bahawa apabila diuji terhadap satu daripada strain Omicron, 35 peratus daripada 20 sampel serum (7/20) daripada penerima dua dos CoronaVac diuji positif untuk antibodi peneutral dan 94 peratus daripada 48 sampel (45/48) daripada penerima tiga dos diuji positif untuk antibodi peneutral.

Ujian perbandingan menggunakan strain virus Omicron lain sedang dijalankan.

Pharmaniaga berkata, Sinovac sedang menjalankan kajian lanjut melibatkan sera dengan paras antibodi yang berbeza dan pada pelbagai masa selepas imunisasi untuk mencapai penilaian yang menyeluruh mengenai impak Omicron terhadap vaksin.

Ini menyokong kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Kanan Perniagaan Luar Negara Sinovac Biotech, Weining Meng yang menyatakan suntikan penggalak yang diberi pada sela masa antara enam dan 12 bulan selepas dos kedua akan melonjakkan kekuatan tindak balas imun dengan titer min geometri (GMT) meningkat kepada kira-kira 140.

Meng dipetik sebagai berkata, bahawa GMT pada enam bulan selepas dos ketiga lebih tinggi daripada tahap tertinggi dos kedua.

“Selain itu, kajian turut menunjukkan ketahanan antibodi yang lebih tinggi enam bulan daripada dos penggalak berbanding dos kedua, menunjukkan tempoh perlindungan yang lebih lama daripada Covid-19 dan varian baharu,” kata Meng.

Pharmaniaga berkata, kajian saintifik ini juga selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat yang meminta semua penerima Sinovac dewasa dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin mereka, mengambil suntikan penggalak menjelang akhir Februari 2022. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here