Home Koronavirus Sumbangan vaksin ikut keperluan: MB Selangor

Sumbangan vaksin ikut keperluan: MB Selangor

0
Sumbangan vaksin ikut keperluan: MB Selangor

SEBERANG JAYA – Pemberian sumbangan dos vaksin kepada Pulau Pinang oleh kerajaan negeri Selangor bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa bekalan vaksin di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah membuka opsyen sama ada pemberian itu dibuat secara ‘one-off’ atau berulang, bergantung kepada kestabilan bekalan vaksin di Pulau Pinang.

Menurutnya, sumbangan itu merupakan usaha antara kerajaan negeri untuk meningkatkan kapasiti dengan tambahan nilai bagi menampung kekurangan bekalan vaksin.

“Jika keadaan di Pulau Pinang kembali stabil, mungkin pemberian ini secara ‘one-off’ sahaja. Bagaimanapun, saya diberitahu oleh Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow) bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menghubunginya menjanjikan kestabilan bekalan vaksin.

“Jadi saya rasa, ia tidak jadi masalah, boleh jadi ‘one-off’, namun untuk masa depan (dalam mesyuarat bersama Ketua Menteri), kita buka opsyen untuk sebarang pemberian atau sumbangan mengikut keperluan,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Amirudin sebelum itu menyerahkan 20,000 dos vaksin secara percuma kepada Kon Yeow di Pusat Konvensyen Arena Seberang Perai (SP Arena) di sini.

Menurut beliau, pemberian sumbangan dos vaksin itu adalah di bawah kelolaan KKM yang mana ia terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

“Apa yang Selangor dan Pulau Pinang lakukan ini adalah meningkatkan kapasiti dengan tambahan nilai yang kita mampu.

“Ia bagi menampung kekurangan bekalan atau bekalan lambat sampai seperti yang berlaku di Selangor sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Selangor serta pihak terlibat dalam menjayakan usaha yang akan mengeratkan lagi hubungan antara dua negeri.

Beliau turut berharap agar bantuan tersebut akan mempercepatkan kekebalan kelompok (herd immunity) dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini adalah tanda solidariti antara warga Selangor dan Pulau Pinang dalam memerangi Covid-19.

“Terima kasih kepada kerajaan Selangor kerana menyumbangkan 20,000 dos vaksin kepada kerajaan Pulau Pinang secara percuma,” katanya.

Katanya, sehingga Isnin, 1.14 juta penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos (64.4 peratus),, manakala 55.7 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap divaksinasi.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bahawa Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan 200,000 dos vaksin Covid-19 bagi tujuan memvaksin baki penduduk negeri ini yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Norlela Ariffin berkata, sehingga kini 225,226 penduduk Pulau Pinang belum menerima suntikan dos pertama vaksin, dengan majoriti merupakan penduduk di daerah Seberang Perai Tengah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here