SHAH ALAM – Pemuda UMNO Kota Raja dengan kerjasama Pertubuhan Integrasi Nasional menyumbangkan sebuah kontena khas untuk menempatkan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada Isnin.
Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya melihat ruang pusat simpanan mayat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan semakin berkurangan.
“Selepas melihat sendiri ruang penyimpanan mayat semakin terhad, saya terus mendapatkan sebuah kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat dalam satu-satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan.
“Saya tidak mahu ruang yang terhad (penyimpanan mayat) menyebabkan mayat berbau kerana tidak ditempatkan di ruang beku.
Jadi, saya tergerak hati datang membantu.
“Terima kasih kepada pihak Pengarah HTAR dan pegawai kerana sudi menerima sumbangan kami, Pemuda Kota Raja dan Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berharap supaya kerajaan negeri dan Malaysia dapat menangani kes Covid-19 segera terutamanya di Selangor dan mencadangkan supaya dihentikan serta-merta pengoperasian kilang-kilang untuk sementara waktu.
“Nyawa manusia lebih berharga berbanding masalah lainnya.
Tolonglah tangani isu ini dengan berkesan.
“Kami juga amat bersimpati dengan kepenatan dan tekanan yang dialami petugas barisan hadapan,” katanya.