Home Koronavirus Sultan Nazrin titah rakyat ambil dos penggalak

Sultan Nazrin titah rakyat ambil dos penggalak

0
Sultan Nazrin titah rakyat ambil dos penggalak

IPOH – [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya rakyat negeri ini mendapatkan dos penggalak Covid-19 bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik itu.

Baginda bertitah, rakyat wajib menunjukkan simpati, melaksanakan tanggungjawab membantu meringankan beban tugas kakitangan Jabatan Kesihatan dengan mengambil langkah-langkah preventif agar penularan wabak diminimumkan.

Titah baginda, sejak dos penggalak diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, hanya sekitar 66 peratus daripada penduduk dewasa di negeri ini yang layak telah menerima dos penggalak.

“Insaflah akan tugas berat yang sudah lebih dua tahun terpaksa dipikul oleh kakitangan kesihatan.

“Usaha-usaha akan ditingkatkan untuk menyedarkan rakyat betapa pentingnya meningkatkan sistem imuniti dalam menghadapi ancaman musuh biologi ini.

“Selain Jabatan Kesihatan, beta menyeru masjid, rumah ibadat, sekolah, badan sukarela, pertubuhan belia dan anggota masyarakat membantu usaha menyedarkan rakyat betapa pentingnya mengambil vaksinasi dos penggalak,” titah baginda pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung selama tiga hari bermula Isnin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19.

Sultan Nazrin bertitah, pandemik Covid-19 akan tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang memberi impak besar kepada dunia.

Titah baginda lagi, penularan wabak itu bukan sahaja menjejas prestasi ekonomi dunia, kehidupan insan, pengurusan kesihatan dan bekalan makanan malah meninggalkan trauma yang turut menjentik emosi ramai pihak.

“Lebih 185 negara ‘sesak nafas’ mengekang jangkitan angka, sedangkan bilangan jangkitan terus memuncak; manusia dikepung pandemik dahsyat dan diasak ke pertempuran rumit menghadapi musuh tidak terlihat.

“Dirakamkan oleh para penulis dalam bait-bait puisi sebagai jarum-jarum panik berceracak di mana-mana, pelancong hilang destinasi, perantau hilang tuju, pengembara hilang sempadan, kapal merapat ke pelabuhan, pesawat terdampar di hangar, kereta api tersadai di stesen, bunga terasa kehilangan embun pagi dilonggokkan layu, sayuran dipulangkan ke bumi, dan susu dicurahkan ke ladang; lebih menghibakan apabila berjuta warga dunia bergelumang menghadapi kematian,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here