Home Koronavirus Sultan Nazrin ingatkan rakyat terus patuhi SOP Covid-19

Sultan Nazrin ingatkan rakyat terus patuhi SOP Covid-19

0
Sultan Nazrin ingatkan rakyat terus patuhi SOP Covid-19

KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi langkah-langkah preventif yang dinasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan Covid-19.

Baginda bertitah, kelonggaran pergerakan yang diberikan kerajaan ketika ini tidak bermakna ancaman wabak sudah pun berakhir.

Menurut baginda, rakyat wajib dinasihatkan untuk sama-sama membantu dalam usaha meminimumkan jangkitan dan melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu wabak Covid-19.

“Alhamdulillah mulai 1 April 2022, kerajaan telah mengumumkan negara akan melangkah fasa peralihan ke endemik.

“Kelonggaran diberikan membolehkan manusia bergerak dan lebih bebas melakukan aktiviti.

“Semoga rakyat akan dapat menjalani gaya hidup yang normal, kegiatan ekonomi berupaya dirancakkan dan kemakmuran negara kembali pulih, di samping dapat menikmati suasana hidup riang lagi sejahtera,” titah baginda dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-170 di Istana Iskandariah di sini pada Selasa.

Sultan Nazrin turut menitipkan harapan agar tahun ini, keriangan menyambut Aidilfitri dapat dikembalikan dalam suasana meriah lagi ceria selepas hampir dua tahun umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak saudara.

Untuk itu kata baginda, rakyat terutamanya umat Islam perlu terus mengamalkan sikap berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian terutama sepanjang Ramadan yang bakal menjelma.

“Jangan nanti, aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadan yang mengalpakan amalan kesihatan dan mengenepikan langkah-langkah preventif menjadi penyebab untuk tidak membolehkan Aidilfitri dapat disambut dalam suasana riang dan ceria,” titah baginda.

Sultan Nazrin berkenan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada institusi agama Islam, masjid dan surau.

Baginda bertitah, pandangan itu bagi memastikan amal ibadah yang dilaksanakan secara berkumpulan di institusi agama tidak melanggar garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

“Memandangkan agama Islam dan institusi yang mengendalikan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah, Orang-orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan perlu berperanan aktif membantu memantau aktiviti-aktiviti yang berlangsung di masjid dan memberikan nasihat bimbingan yang sewajarnya untuk meminimumkan risiko jangkitan.

“Beta akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan dan nasihat kepada institusi agama Islam, masjid dan surau,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut mengalu-alukan kehadiran buat pertama kali Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam mesyuarat Dewan Negara.

Turut dialu-alukan kehadiran Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota, Datuk Meor Redwan Mahayudin; Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja, Dr Ahmad Ruslan Mohd Ridzuan; Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera, Ahmad Raziff Mohamad Zulkifli dan ahli Dewan Negara tidak rasmi, Ahmad Suhaili Md Hashim.

Baginda turut mengalu-alukan keahlian ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) yang baharu, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin yang mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan guaman dan kehakiman hingga menjawat jawatan Presiden Mahkamah Rayuan.

Sultan Nazrin turut merakamkan ucap takziah kepada beberapa Orang Besar, ahli Dewan Negara dan ahli keluarga yang telah kembali ke Rahmatullah antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu dan isteri Allahyarham, Puan Sri Ainin Abdul Ghani yang kembali ke rahmatullah pada 23 Februari lalu.

“Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas semasa diamanahkan tanggungjawab.

“Semoga segala khidmat bakti setiap mereka diterima sebagai amal yang turut dilimpahkan rahmat ketika roh mereka sedang berada di alam barzakh, sementara menantikan hari kebangkitan,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here