Home Koronavirus Sultan Muhammad V zahirkan kebimbangan penularan Covid-19 di Kelantan

Sultan Muhammad V zahirkan kebimbangan penularan Covid-19 di Kelantan

0
Sultan Muhammad V zahirkan kebimbangan penularan Covid-19 di Kelantan

KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan kebimbangan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negeri ini sejak pertengahan April lalu sehingga mencecah lebih 400 kes setiap hari.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan titah rasmi baginda di sini, pada Rabu.

Menurutnya, baginda amat dukacita melihat ramai rakyat Kelantan yang masih mengambil ringan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Baginda Sultan menyeru semua rakyat Kelantan supaya mengambil serius pematuhan SOP PKP yang ditetapkan dan menekankan bahawa peranan semua pihak dalam usaha melandaikan lengkung kes penularan pandemik tersebut adalah sangat penting. Rakyat juga perlu sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakkan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan tangan untuk mengelak jangkitan.

“Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kelantan hampir memenuhi kapasitinya dan turut menjejaskan pesakit ICU sedia ada yang terpaksa ditempatkan di wad biasa. Jumlah pesakit yang meningkat telah memaksa kerajaan negeri membuka hospital lapangan di Padang Perdana dan ia menunjukkan situasi yang cukup kritikal di negeri ini,”katanya.

Menurutnya, berikutan penularan varian Afrika Selatan B.1. 351 yang turut di dikesan di negeri ini yang berpunca dari rentas negeri, baginda bertitah, semua pihak terutama sekali rakyat Kelantan, perantau mahupun golongan kenamaan dan selebriti supaya tidak merentas negeri sekiranya tiada kecemasan.

Beliau berkata, baginda Sultan Kelantan juga menyarankan supaya peniaga mengutamakan pengurusan perniagaan diatas talian.

“Baginda benar-benar berharap seluruh rakyat dapat bekerjasama dalam melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling, juga bersimpati dengan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang hari raya minggu depan.

“Baginda juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk segenap masyarakat.

“Akhir sekali, sempena minggu terakhir Ramadan ini, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa kepada Allah supaya penularan dapat dibendung secepat mungkin dan tindakan kolektif yang diambil rakyat akan dapat segera melandaikan lengkuk jangkitan yang membimbangkan ini,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here