KUALA LUMPUR – Seorang lelaki buntu memikirkan keadaan mereka sekeluarga untuk menguruskan empat anaknya berusia satu hingga lima tahun di rumah selepas dia dan isteri dijangkiti Covid-19.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew menerusi kemas kini di Facebook berkata, lelaki dikenali Ikhwan itu menjalani kuarantin di rumah sementara isteri dan seorang lagi anaknya berusia sebulan menerima rawatan di hospital.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan Ikhwan perlu juga menjaga anak-anaknya walaupun sedang menjalani kuarantin.
“Saya terkejut dengan situasi dihadapi lelaki berkenaan. Dia perlu menguruskan keperluan anak-anak termasuk memberi makan bayi berusia setahun disebabkan tiada orang dewasa lain di rumah.
“Disebabkan itu, saya menguruskan permit perjalanan ibu Ikhwan di Puchong ke Wangsa Maju untuk membantunya menjaga anak-anak,” menurut perkongsian itu pada Jumaat.
Yee Kew berkata, Ikhwan juga berdepan masalah untuk menghantar anak-anaknya melakukan ujian saringan.
“Saya segera uruskan ambulans untuk membawa anak-anak ini membuat ujian calitan kerana tiada sukarelawan yang sanggup membawa mereka ke hospital atas faktor keselamatan.
“Jika tiada ambulans, saya sendiri perlu membuat ujian calitan kepada semua anak-anak di rumah ini seperti yang disyorkan Klinik Kesihatan,” katanya.
Katanya, Ikhwan bersama anak-anak telah dihantar ke hospital menaiki ambulans dan sanitasi di rumah keluarga berkenaan juga dilakukan.
“Marilah kita sama-sama kita doakan keluarga Ikhwan cepat sembuh. Saya menantikan saat untuk berjumpa dengan anak-anak perempuannya yang comel, semoga membesar dengan kuat dan sihat.
“Inilah kehidupan seorang ahli Parlimen ketika pandemik,” kongsinya.