KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sikap rakyat negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca kepada jangkitan kes Covid-19 di Kelantan masih tinggi berbanding negeri lain.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, pendedahan itu hasil pemerhatian yang dilakukan menerusi lawatan sehari di negeri ini yang mendapati rakyat Kelantan mengambil mudah berkait dengan aspek pematuhan SOP.
“Selain itu, kegagalan melaporkan ujian kendiri Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera turut dikesan menjadi penyumbang selain kadar positif yang bergejala agak tinggi.
“Ramai di negeri ini membuat ujian kendiri, namun mereka hanya melaporkan sekiranya positif, jadi saya nasihatkan supaya mereka yang membuat ujian kendiri supaya membuat laporan bagi membolehkan Kelantan memasuki Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin dan Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.
Menurutnya, Kelantan menjadi antara negeri tertinggi yang mencatatkan jumlah kompaun setakat ini, sekali gus mencerminkan sikap rakyat yang mengambil mudah SOP.
Beliau berkata, berpandukan kepada data diperoleh, KKM mendapati sebanyak 40 peratus kadar positif yang bergejala dikesan di negeri ini.
“Penularan tinggi dalam komuniti, kontak rapat dan sporadik turut dikesan di negeri ini,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, KKM akan memberikan penekanan kepada tiga aspek iaitu pematuhan SOP, meningkatkan suntikan vaksin selain saringan dalam kalangan kontak rapat juga ditingkatkan dalam memutuskan rantaian jangkitan.