Home Koronavirus Malaysia di landasan kemenangan, terus berjuang lawan Covid-19

Malaysia di landasan kemenangan, terus berjuang lawan Covid-19

0
Malaysia di landasan kemenangan, terus berjuang lawan Covid-19

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengajak rakyat Malaysia untuk terus berjuang melawan Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, negara kini berada dalam landasan tepat meraih kemenangan walaupun pengisytiharan itu belum dibuat.

Beliau berkata, perjuangan itu perlu dizahirkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Untuk makluman, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 sudah menurun sebanyak 40 peratus.

“Jadi sepanjang waktu ‘bernafas’ ini, saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia supaya jangan kita apla dan perlu menghargai perjuangan barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus melawan Covid-19 lebih setahun lalu,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Penambang di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin serta Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.

Khairy berkata, kerajaan sedar bahawa rakyat sudah rasa gelisah dan tidak mahu pakai pelitup muka, bagaimanapun perjuangan melawan Covid-19 perlu diteruskan.

Menurutnya, rakyat negara ini perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di Eropah apabila mereka membuat pengisytiharan ‘merdeka’ daripada Covid-19 selepas selesai melakukan suntikan ke atas 70 peratus rakyat mereka.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat mengisytiharkan Eropah sebagai pusat gelombang terbaharu Covid-19 disebabkan oleh rakyat negara berkenaan terlalu leka.

Oleh kerana itu, beliau berkata, SOP perlu tetap dipatuhi kerana virus berkenaan amat degil dan boleh mengalami mutasi.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam isu ini dan sebab itulah KKM sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here