Home Koronavirus ‘Si ibu selamat, bayi pun dilindungi’

‘Si ibu selamat, bayi pun dilindungi’

0
‘Si ibu selamat, bayi pun dilindungi’

SHAH ALAM – Pemberian vaksin Covid-19 terbukti selamat digunakan kepada ibu hamil, malah berupaya melindungi keselamatan dan kesihatan bayi dalam kandungan.

Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Murizah Mohd Zain berkata, data perubatan terkini berkaitan isu tersebut adalah sangat memberangsangkan.

Menurutnya, kesan sampingan yang dialami oleh ibu yang hamil juga adalah sama seperti mereka yang tidak mengandung.

“Sesetengah ibu yang hamil takut keselamatan diri dan bayi mereka jika ambil vaksin, tetapi data-data menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin buat ibu yang hamil sangat meyakinkan.

“Ia bukan sahaja selamat untuk digunakan, malah terbukti mampu melindungi ibu yang hamil daripada kesan teruk jangkitan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, bukti daripada ujian klinikal yang dijalankan menunjukkan keselamatan dan kesihatan bayi daripada ibu yang mengambil vaksin adalah normal.

“Sewaktu ujian klinikal dijalankan, ia memang tidak diuji untuk ibu yang mengandung, tetapi ada peserta yang terlibat telah mengandung hanya beberapa bulan selepas vaksin diberikan.

“Pemantauan yang dilakukan kepada kumpulan ini mendapati bayi yang dilahirkan oleh mereka adalah normal.

“Kerisauan sama ada vaksin yang digunakan untuk ibu hamil ini akan pergi kepada sel-sel bayi juga memang tidak berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, terdapat bukti perubatan menunjukkan bahawa wanita mengandung yang mendapatkan suntikan vaksin ketika trimester ketiga kehamilan iaitu antara minggu 28 ke 40 turut memberikan perlindungan kepada bayi daripada jangkitan Covid-19.

“Jadi itu salah satu kelebihan, bukan sahaja ibu terlindung malah anak dilindungi (daripada jangkitan Covid-19),” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here