Home Koronavirus Seorang ADUN positif, tiga lagi diarah kuarantin

Seorang ADUN positif, tiga lagi diarah kuarantin

0
Seorang ADUN positif, tiga lagi diarah kuarantin

ISKANDAR PUTERI – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disahkan positif Covid-19 manakala tiga lagi diarahkan menjalani kuarantin.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, perkara itu disahkan pada Ahad selepas Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 disambung semula selepas direhatkan pada 12 Ogos lalu.

Beliau memberitahu, saringan ujian saringan Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) perlu dilakukan kesemua ADUN setiap hari sehingga persidangan berakhir pada Rabu ini.

“ADUN Tenggaroh, K Raven disahkan positif Covid-19 Khamis lalu ketika menjalani ujian saringan.

Tiga lagi ADUN iaitu Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Tangkak, Ee Chin Li dan ADUN Senai, Tee Boon Tsong diarahkan menjalani kuarantin.

“Rosleii dan Boon Tsong diarahkan menjalani kuarantin dua hari berikutan menjadi kontak rapat manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengenai jumlah kehadiran ADUN, Suhaizan berkata, hanya dua ADUN yang tidak hadir pada sesi persidangan pada Ahad namun sudah memaklumkan ketidakhadiran mereka.

“Dua ahli Dewan berkenaan iaitu ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri Kelapan dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai,” katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kesemua 56 ADUN Johor perlu menjalani ujian saringan Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) setiap hari sepanjang menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disambung semula pada 22 Ogos ini.

Langkah tersebut disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan Covid- 19 di bangunan sidang dewan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here