Home Koronavirus Semua wad HoSHAS ditutup kepada pesakit baharu

Semua wad HoSHAS ditutup kepada pesakit baharu

Semua wad HoSHAS ditutup kepada pesakit baharu

KUANTAN – Semua wad di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh ditutup untuk kemasukan pesakit baharu susulan penularan jangkitan Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, langkah itu diambil atas faktor keselamatan bagi mengelak risiko jangkitan terhadap semua pesakit baharu dan pelawat.

Sehubungan itu menurutnya, dua wad multidisiplin telah dibuka bagi kes-kes kritikal.

“Ketika ini perkhidmatan kecemasan, perbidanan dan sakit puan serta pediatrik di HoSHAS masih beroperasi.

“Untuk sementara waktu, semua pesakit yang tidak kritikal yang perlu dimasukkan ke hospital akan dihantar ke hospital-hospital lain yang memiliki tenaga pakar di negeri ini,” katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, sehingga Ahad, terdapat 37 kes Covid-19 dikesan di HoSHAS membabitkan penularan jangkitan di wad biasa dan bukan di wad yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

“Penilaian risiko telah dibuat ke atas semua yang terlibat di mana kontak rapat kepada kes positif telah disaring dan diasingkan.

“Aktiviti kawalan sedang dilaksanakan bagi menghentikan penularan jangkitan termasuk langkah penutupan wad di hospital itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya keadaan setakat ini masih terkawal dengan aktiviti kawalan dan pencegahan sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan di hospital itu yang telah ditutup sementara dapat dibuka semula secara berperingkat.

“Kita jangkakan perkhidmatan di hospital itu dapat beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 menular dalam wad hospital

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here