Home Koronavirus Semua dos penggalak di bawah PICK adalah percuma

Semua dos penggalak di bawah PICK adalah percuma

0
Semua dos penggalak di bawah PICK adalah percuma

SHAH ALAM – Semua jenis vaksin yang diberikan kepada orang ramai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) termasuk dos penggalak adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

ProtectHealth dalam satu kenyataan berkata, ia termasuk vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd iaitu CoronaVac (Sinovac) yang ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta dan PPV ‘off-site’ di bawah seliaan ProtectHealth menerusi program PICK dos penggalak.

“Ketersediaan vaksin Sinovac adalah terhad dan ia akan diberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin Covid-19 selain vaksin Sinovac seperti disyorkan oleh pakar perubatan bertauliah.

“ProtectHealth juga ingin memberitahu bahawa vaksin Sinovac turut dijual dalam pasaran swasta. Oleh itu, akan terdapat sebilangan PPV fasiliti kesihatan swasta di bawah PICK yang menjual vaksin Sinovac secara terus bagi penerimaan dos penggalak.

“Penjualan vaksin ini di PPV fasiliti kesihatan swasta bukanlah di bawah program PICK dan tidak dikawal selia oleh ProtectHealth,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, ProtectHealth menasihatkan penerima yang ingin mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak supaya bertanya kepada PPV fasiliti kesihatan swasta terlebih dahulu sama ada ia menawarkan vaksin Sinovac melalui PICK.

Katanya, fasili kesihatan swasta yang menjalankan pemberian vaksin Sinovac melalui PICK dan program pembelian vaksin atau ‘private purchase vaccine’ perlu mengutamakan pemberian vaksin Sinovac di bawah PICK yang diberikan secara percuma terlebih dahulu sebelum menawarkannya secara pembelian kepada penerima vaksin.

“PPV juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada penerima dos penggalak akan ketersediaan vaksin Sinovac di bawah PlCK dan menjelaskan kepada mereka yang program pembelian vaksin di fasiliti kesihatan swasta tidak ditanggung oleh kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ProtectHealth turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih menyarankan penerimaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sebagai dos penggalak kerana ia mampu memberikan perlindungan lebih baik.

“ProtectHealth menyeru mereka yang telah menerima janji temu vaksin dos penggalak untuk segera mendapatkan vaksin mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa semua jenis vaksin yang terlibat dalam pemberian dos penggalak oleh kerajaan telah disarankan oleh pakar perubatan bertauliah dan ia diberikan secara percuma,” jelas kenyataan itu.

Sehingga Isnin, PPV fasiliti kesihatan swasta dan ‘off-site’ di bawah seliaan ProtectHealth telah menyumbang lebih 1.91 juta dos penggalak bersamaan 63 peratus daripada keseluruhan 3,048,396 dos yang telah diberikan dalam PICK.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here