Home Koronavirus ‘Sempat urus jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia’

‘Sempat urus jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia’

0
‘Sempat urus jenazah Covid-19 sebelum meninggal dunia’

CYBERJAYA – Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Kuzaini Hamidon, 47, meninggal dunia di Hospital Putrajaya dipercayai disebabkan kegagalan fungsi organ pada Khamis.

Kuzaini dimasukkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas rebah di kediamannya dekat Puchong Perdana pada Rabu sebelum meninggal dunia pada jam 2.45 pagi ini.

Bapa tiga anak itu memulakan tugas di MPSepang sejak 2012 dan Allahyarham juga merupakan pegawai khas mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ Cyberjaya 10.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain, menyifatkan Allahyarham seorang pegawai yang berdedikasi dan komited kepada kerjaya.

Menurut beliau, sebelum ini Allahyarham diberikan tugas khas mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10 bagi jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

“Sepanjang kerjayanya, beliau banyak membantu MPSepang hingga menerima anugerah antaranya Malaysia Book of Records bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menggunakan fomulasi biobesad untuk semburan kabus nyamuk aedes pada 2017, pingat emas bagi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2019, Anugerah Khas Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 2017.

“Sejak diberikan tugas khas ini, Allahyarham sempat mengendalikan 19 jenazah bermula Sabtu lalu selepas Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya 10 menjadi tanah perkuburan ketiga di Selangor digunakan untuk memudahkan waris menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Pemergian Kuzaini adalah satu kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga PBT ini,” katanya.

Jenazah dibawa ke Masjid Assalam Puchong Perdana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya selepas semua proses pengurusan dan dokumentasi selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here