Home Koronavirus Selangor tidak tutup ekonomi, tumpu pematuhan SOP: Amirudin

Selangor tidak tutup ekonomi, tumpu pematuhan SOP: Amirudin

0
Selangor tidak tutup ekonomi, tumpu pematuhan SOP: Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyifatkan penutupan mana-mana sektor susulan kenaikan kes Covid-19 bukan pilihan untuk dilakukan sebaliknya penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perlu dijadikan keutamaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jangkitan wabak tersebut masih boleh dikawal selain kadar suntikan vaksin populasi dewasa dan remaja yang tinggi dicatatkan di negeri berkenaan.

Beliau berkata, jumlah penggunaan katil di hospital juga masih terkawal berbanding pada bulan September dan Oktober tahun lalu namun individu yang dijangkiti perlu segera menjalani kuarantin.

“Dulu kematian hampir cecah 190 hingga 200 orang, sekarang dalam sembilan orang. Isunya sekarang ialah bagaimana kita kembali ingatkan rakyat tentang protokol atau SOP yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan ada penularan jangkitan berlaku dalam kalangan individu menggunakan sijil digital vaksin Covid-19 palsu.

“Sebab itu saya minta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyemak sama ada mereka turut terjangkit dan bagaimana kesan mereka namun jelasnya bagi individu lengkap dos mereka hanya terima kesan minimum,” katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini menjangka kes harian Covid-19 dalam negara mampu melonjak sehingga mencecah 15,000 kes tidak lama lagi susulan gelombang Omicron.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here