SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor memerlukan lebih ramai pegawai perubatan bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, walaupun kapasiti bekalan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Julai bertambah, namun negeri ini berdepan kekangan untuk mempercepatkan proses suntikan berikutan kekurangan pegawai perubatan.
Beliau berkata, berikutan itu kerajaan negeri amat memerlukan mobilisasi pegawai perubatan dari negeri lain untuk membantu mempercepatkan pemberian vaksin di negeri ini.
“Kerajaan negeri sedang usahakan untuk tingkatkan pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini kerana kami tidak mempunyai masalah dalam aspek lokasi dan sukarelawan.
“Bekalan vaksin juga sudah ada sekarang cuma kita kena tingkat kapasiti pemberian, namun kerajaan negeri berdepan kekurangan pegawai perubatan untuk tujuan itu,” katanya selepas Sesi Serahan Home Assessment Tools (HAT) kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati pada petang Khamis.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini berkata, Malaysia bakal menerima lebih 12 juta dos vaksin Covid-19 bulan ini sekali gus menjadikan tempoh tiga bulan akan datang sebagai kritikal dan mencabar dalam menjayakan PICK.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Khamis turut memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan penugasan semula pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu membabitkan 110 orang dari negeri Kedah, Perak dan Terengganu ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0
Dalam pada itu, mengulas mengenai penularan gambar pesakit Covid-19 berbaring di atas katil mudah alih di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sejak Rabu, Siti Mariah berkata, pihak terlibat dikatakan sedang menunggu giliran untuk proses berikutnya dan turut dipantau oleh pegawai perubatan ketika itu.
“Saya akui ia adalah situasi terburuk berlaku di Malaysia, dulu pun ada yang duduk atas pengusung tetapi tidak pernah sehingga di ruang luar jabatan kecemasan,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Siti Mariah berkata, sebanyak 1,000 HAT diserahkan ke CAC Stadium Malawati selaras dengan inisiatif diumumkan kerajaan negeri.
Tambahnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.25 juta bagi menyediakan sebanyak 5,000 HAT yang mengandungi Facemask KN95, Pulse Oximeter dan risalah panduan kuarantin kendiri.
“Sistem sokongan kepada inisiatif HAT telah dibangunkan dalam aplikasi SELangkah yang membolehkan pesakit mengemaskini status kesihatan terkini mereka,” katanya.