Home Koronavirus ‘Selagi tak ambil vaksin, makin lamalah dapat rasai hidup normal’

‘Selagi tak ambil vaksin, makin lamalah dapat rasai hidup normal’

0
‘Selagi tak ambil vaksin, makin lamalah dapat rasai hidup normal’

BUKAN mudah berada di luar negara ketika mana pandemik Covid-19 sedang melanda dunia khususnya di Amerika Syarikat (AS).

Pernah merasai seolah-olah “terkurung” kerana peningkatan kes yang mendadak di negara Uncle Sam itu.

Namun, segalanya mula beransur pulih dan berubah selepas negara yang pernah merekodkan ratusan ribu kes harian itu melaksanakan program vaksinasi.

Pengalaman itu dirasai sendiri oleh rakyat Malaysia, Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman, 34 tahun, yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Doktorat Kesihatan Awam (DrPH) di Universiti Harvard sejak tiga tahun lalu.

Menurut Dr Mohd Lutfi yang juga pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan (KKM), keadaan di AS ketika ini mula kembali normal dengan rutin harian masyarakat berjalan seperti biasa.

Di lokasi beliau tinggal iaitu di Boston, lebih 70 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

“Kalau nak beza Januari lalu dengan sekarang memang sangat-sangat berbeza. Saya rasa sekarang ini kita hampir kepada (kehidupan) normal kerana pelitup muka dan penjarakan fizikal tidak lagi diwajibkan.

“Jadi, semua sudah bebas untuk keluar, makan di dalam restoran, dan pergi ke pusat beli-belah. Saya bersama keluarga memang rasa ia sudah hampir normal. Saya rasa itu lah kepentingan vaksin sebab walaupun hanya 70 peratus dapat satu suntikan, dan 50 peratus sudah mendapat dua dos, tetapi kita sudah boleh nampak kesan imuniti kelompok.

“Selain itu, kes juga menunjukkan penurunan dengan sangat banyak. Kalau pada Januari lalu di Massachusetts, lebih kurang 5,000 kes sehari dan saya tengok hari ini (Ahad) hanya 122 kes baharu direkodkan,” katanya kepada Awani ketika dihubungi melalui Skype, pada Ahad.

Berkongsi lebih lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata beliau dan isterinya, Kamaliah Jalalonmuhali, 31, telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech masing-masing pada April dan Mei lalu.

Pemuda yang pernah disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada 2017 itu menambah, kemudahan mendapatkan vaksin menjadi antara penyumbang kepada kelancaran program vaksinasi di negara itu.

AS kini berada pada fasa ketiga program vaksinasi, yang mana kira-kira 138 juta orang atau 42.1 peratus daripada populasi telah melangkapkan dua dos suntikan vaksin.

“Pada pendapat saya mungkin juga AS adalah negara pengeluar vaksin dan mempunyai bekalan vaksin yang banyak, maka proses pengagihannya memudahkan.

“Contohnya kebanyakan vaksin diberikan di farmasi-farmasi, di mana farmasi dekat pusat beli-belah pun boleh dapatkan vaksin Covid-19. Misalnya, isteri saya mendapat vaksin selepas saya. Kami hanya mendaftar secara dalam talian pada sebelah pagi, dan tengah hari sudah tahu farmasi mana boleh pergi untuk suntikan vaksin.

“Selain daripada farmasi, ada juga daripada kerajaan dan vaksin secara pandu lalu. Jadi, rakyat di sini ada banyak pilihan yang mudah untuk mereka dapatkan,” kata Dr Mohd Lutfi yang menjadi rakyat Malaysia pertama ditawarkan belajar di Universiti Harvard dalam DrPH.

Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada golongan warga emas pula, Dr Mohd Lutfi berkata kebanyakan penduduk di Boston menyedari kepentingan untuk mendapatkan vaksinasi.

Mengikut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Massachusetts menduduki tangga ketiga dari segi peratusan mereka yang divaksinasi berdasarkan jumlah populasi.

Sementara, negeri Vermont dan Maine berada di tangga pertama dan kedua dengan masing-masing 57.83 dan 55.82 peratus daripada jumlah populasi di kawasan berkenaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Sehubungan itu, Dr Mohd Lutfi menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak teragak-agak dan segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin bagi memastikan negara dapat pulih seperti sediakala.

“Jadi kalau kita nak mencapai tahap itu (kembali normal), memang kena patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan juga ambil vaksin.

“Kita semua ingin kembali kepada normal tetapi selagi kita tidak patuhi SOP dan tidak mengambil vaksin, memang makin lama lah kita akan dapat merasai kehidupan yang normal,” ujarnya. – Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here