KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mendahulukan vaksinasi kepada golongan penghantar makanan (food rider) yang bergerak aktif ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak terutama di Wilayah Persekutuan sejak ‘total lockdown’ pada Selasa.
Gesaan tersebut dibuat menerusi kenyataan bersama dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P. Prabakaran dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan, Lee Bing Hong.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertama pada 31 Mei lalu dengan kehadiran dari ketiga-tiga parti anggota iaitu Pemuda Amanah, AMK dan DAPSY yang berbincang megenai isu tersebut.
“Risiko golongan terbabit dijangkiti dan menyebarkan virus adalah tinggi kerana di saat sektor lain diarahkan duduk rumah, mereka masih perlu bekerja menghantar makanan kepada orang yang dikuarantin di kediaman masing-masing.
“Tanpa sedar, merekalah pemangkin yang menghidupkan ekonomi saat sektor lain sedang lumpuh. Jadi meletakkan pelaburan pada sektor ini sebenarnya bakal memberi pulangan besar kepada negara.
“Sektor yang banyak digerakkan oleh anak muda ini wajar diberikan keutamaan vaksinasi bukan sahaja demi kepentingan imuniti kelompok dan mengekang penularan, tapi dalam menggerakkan ekonomi secara mikro dan makro,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.