ISKANDAR PUTERI – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein reda dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Majlis Pelancaran Briged MIC Johor, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) menegaskan akan berdepan dan bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukannya itu.
“Kalau kita langgar SOP kena bayar kompaun. Inilah saya punya kebimbangan. Bila kita buat program dan benarkan program politik, ia susah nak dikawal.
“Jadi jika tak boleh dikawal dan melanggar SOP, mereka terpaksa berhadapan dengan kompaun. Saya reda jika membabitkan diri sendiri sekali pun,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program berkenaan.
Sebelum itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan Twitternya pada Ahad, mengarahkan pegawai kementeriannya agar memgeluarkan kompaun terhadap tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad kerana melanggar SOP)
Jelasnya, kompaun itu akan dikenakan terhadap Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Majlis Pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity, Iskandar Puteri, pada kira-kira jam 5 petang dan berakhir dua jam kemudian.
Kira-kira 3,000 ahli MIC hadir pada program berkenaan yang dirasmikan Ketua Penyelaras PRN Johor, Datuk Hasni Mohammad.