KUALA LUMPUR – Satu lagi kit ujian kendiri Covid-19 diberi kelulusan bersyarat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk dijual bagi kegunaan orang awam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebook pada Khamis berkata, kit berkenaan ialah Beright Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co. Ltd.
Sementara itu, menurut portal MDA, kit itu boleh didapati di farmasi komuniti berdaftar atau fasiliti kesihatan swasta.
“Penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 ini adalah terhad untuk tujuan saringan sahaja dan semua keputusan ujian memerlukan pengesahan lanjut menggunakan RT-PCR,” menurut MDA.
Sebelum ini, MDA memberikan kelulusan bersyarat kepada dua kit iaitu ‘Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19’ buatan syarikat tempatan, Reszon Diagnostics International Sdn Bhd dan satu lagi kit kegunaan rumah, Gmate Covid-19 buatan Korea Selatan, yang diberi kelulusan, kepada Citymedic Sdn Bhd.
Senarai itu akan dikemas kini dari masa ke masa dan ia boleh juga disemak menerusi portal MDA. – Bernama