Home Koronavirus Satu kes varian Omicron dikesan di Labuan

Satu kes varian Omicron dikesan di Labuan

0
Satu kes varian Omicron dikesan di Labuan

LABUAN – Satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi telah dikesan di pulau bebas cukai ini dalam masa 24 jam, melibatkan 13 kes termasuk satu kes varian Omicron.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, kluster itu dicetuskan oleh jemaah umrah yang pulang ke pulau ini pada 21 Disember lepas dan telah berinteraksi dengan beberapa orang anggota keluarga serta individu lain.

Jalan OKK Awang Besar terletak di pusat bandar Labuan.

Beliau berkata, pesakit varian Omicron itu kini menjalani kuarantin bersama keluarganya.

“Pesakit ini telah dikesan positif varian Omicron selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 21 Disember dan beliau tidak menunjukkan sebarang simptom,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Dr Ismuni berkata, pengesanan kontak rapat 13 pesakit terbabit kini sedang dilakukan dan seorang daripada mereka difahamkan telah pergi ke jualan gerai Tahun Baharu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa baru-baru ini.

Labuan merekodkan dua digit kes Covid-19 iaitu 15 kes pada 2 Januari, sebelum turun ke dua kes sahaja pada keesokan harinya.

Meskipun kes Covid-19 di sini masih terkawal, beliau berkata, semua pihak perlu terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard selain mengelak pergi ke tempat-tempat sesak.

Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 10,863 termasuk 15 kes baharu dilaporkan pada Rabu.

Menurut kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Selasa, sebanyak 122 kes varian Omicron dilaporkan di seluruh negara setakat 4 Januari membabitkan 117 kes jangkitan import dan lima penularan tempatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here