Home Koronavirus Sasar 70 peratus penduduk di Sabak Bernam terima vaksin

Sasar 70 peratus penduduk di Sabak Bernam terima vaksin

Sasar 70 peratus penduduk di Sabak Bernam terima vaksin

SUNGAI BESAR – Kira-kira 70 peratus penduduk di Sabak Bernam disasarkan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada September depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, usaha itu akan dipergiatkan bagi mempercepat imuniti kelompok dalam mengawal penularan Covid-19.

Malah katanya, beliau juga dimaklumkan kadar bekalan dan pemberian vaksin di daerah Sabak Bernam berada pada tahap terbaik.

“Saya difahamkan warga emas yang berdaftar melalui MySejahtera dan sudah menerima suntikan di daerah ini melebihi 60 peratus.

“Bagaimanapun, baki mereka ini yang tidak mendaftar masih belum dikenal pasti lagi dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang berasa takut atau tidak yakin dengan keberkesanan vaksinasi dan kita perlu pergi rumah ke rumah untuk meyakinkan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pemberian Vaksin Rakyat Prihatin di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini pada Sabtu.

Mohd Imran berkata, selain itu, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam melalui sistem mobil dengan bergerak pergi rumah ke rumah penerima.

Katanya, menerusi kerjasama itu seramai 10 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang menerima suntikan Covid-19 sejak program itu dilaksanakan pada Julai lalu.

“Kaedah ini bertujuan memberi kemudahan kepada golongan seperti warga emas uzur, pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan penghidap masalah psikiatri,” katanya.

Mengulas mengenai Program Pemberian Vaksin Rakyat Prihatin, Mohd Imran berkata, inisiatif itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam.

Beliau berkata, sambutan program itu amat menggalakkan apabila menerima sebanyak 300 permohonan daripada penduduk, namun hanya mempunyai 150 sahaja kuota dos pertama dan kedua.

“Kita beri mengikut keutamaan dan ada juga senarai menunggu kerana difahamkan ada di antara mereka yang telah menerima janji temu melalui MySejahtera.

“Bagi mereka yang sudah mempunyai janji temu, kita terpaksa membatalkan nama mereka untuk diganti dengan mereka yang masih belum mendapat janji temu atau mereka yang tidak mendaftar di aplikasi MySejatera,” katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan masa janji temu ditetapkan.

“Kita hanya membenarkan seramai 20 hingga 25 penerima vaksin sahaja yang hadir dalam tempoh sejam bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang bagi mengelakkan kesesakan selain mengawal pencegahan penularan Covid-19.

“Selain itu, bagi memudahkan mereka yang uzur dan mempunyai masalah kesihatan, sebanyak 10 kerusi roda disediakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here