KOTA BHARU – Individu yang dibenarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasuki Kelantan diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu bermula pada Sabtu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, langkah itu bertujuan memastikan individu tersebut bebas jangkitan Covid-19.
“Mereka perlu jalani ujian saringan Covid-19 sekurang-kurangnya jenis RT – Antigen atau RT – PCR.
“Ia hendaklah dilaksanakan terlebih dahulu dalam tempoh 72 jam di negeri asal sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, sekiranya ujian itu tidak dilaksanakan mereka perlu berbuat demikian di pintu masuk sempadan iaitu di Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.