Home Koronavirus Saringan bersasar punca kes Covid-19 meningkat di Negeri Sembilan

Saringan bersasar punca kes Covid-19 meningkat di Negeri Sembilan

0
Saringan bersasar punca kes Covid-19 meningkat di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Peningkatan kes baharu jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja, terutamanya dalam sektor perindustrian di daerah Seremban.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peningkatan kes ini juga adalah hasil saringan kontak rapat yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, sebanyak 36 peratus daripada kes hari ini di Negeri Sembilan adalah daripada kluster, 41 peratus adalah kontak rapat dan selebihnya adalah kes sporadik.

“Bagi kes-kes di bawah kluster, terdapat 78 peratus melibatkan pekerja di sektor perindustrian, pusat jagaan khas (13 peratus) dan komuniti (sembilan peratus).

“Sebanyak 53 peratus daripada kes sporadik adalah melibatkan saringan pekerjaan atau saringan bergejala terhadap pekerja yang terlibat di dalam sektor perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya, kerajaan negeri ingin menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.

Sehingga jam 12 tengah hari Khamis, terdapat 1,086 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah sebanyak 36,194 kes dengan 5,825 kes sedang dirawat dan 244 kematian telah direkodkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here