Home Koronavirus Sarawak tidak akan berpuas hati walaupun mendahului vaksinasi

Sarawak tidak akan berpuas hati walaupun mendahului vaksinasi

0
Sarawak tidak akan berpuas hati walaupun mendahului vaksinasi

KUCHING – Sarawak tidak akan berpuas hati walaupun telah diakui sebagai negeri yang mencatat jumlah terbanyak suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebanyak 55,248 orang telah divaksin di negeri ini pada Khamis, jumlah tertinggi pemberian vaksin di negara ini, hanya sehari selepas jumlah mereka yang divaksinasi mencecah 49,000 di Sarawak.

“Kami mempunyai ruang untuk penambahbaikan bagi memastikan kesemua 2.2 juta rakyat Sarawak yang layak divaksinasi sepenuhnya menjelang Ogos tahun ini. Kami telah mengaturkan infrastruktur kami sejak dua bulan lalu dan dalam mod yang sangat aktif dalam melancarkan program vaksinasi di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengucapkan tahniah kepada negeri ini atas pencapaian itu dan berjanji lebih banyak penghantaran vaksin akan dilakukan ke Sarawak.

“Kami sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sangat menyokong, malah menyalurkan dana kepada kami untuk membeli vaksin kami sendiri. Kami telah mendahului negeri lain dan semestinya berbangga dengan pencapaian kami,” katanya.

Uggah berkata, walaupun menghadapi tugas mencabar, ia tetap penting untuk dicapai kerana vaksinasi adalah jalan keluar untuk memerangi Covid-19, seperti terbukti di negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Walaupun pada permulaan negeri ini agak perlahan dalam pemberian vaksin disebabkan kelewatan mendapatkan bekalan vaksin, beliau berkata, penghantaran dari Kuala Lumpur lebih kerap sekarang bagi membolehkan vaksinasi dapat dijalankan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Khairy dan Putrajaya (kerajaan Persekutuan) kerana memahami kami dan membantu kami (mendapatkan bekalan vaksin),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here