Home Koronavirus Sarawak bakal terima 380,000 dos vaksin setiap minggu bermula Jun

Sarawak bakal terima 380,000 dos vaksin setiap minggu bermula Jun

0
Sarawak bakal terima 380,000 dos vaksin setiap minggu bermula Jun

KUCHING – Sarawak akan menerima sebanyak 380,000 dos vaksin setiap minggu bermula minggu pertama bulan Jun hingga akhir bulan Ogos, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, susulan itu Sarawak dijangka menjadi negeri pertama di Malaysia yang melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 dengan 2.2 juta penduduknya diberi vaksin.

Khairy berkata, komitmen penghantaran bekalan vaksin itu juga telah dipersetujui susulan pertemuan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat.

“Dengan jaminan yang kita beri kepada Kerajaan Negeri Sarawak hari ini, kita bakal lihat Sarawak capai sasaran (selesai imunisasi) pada akhir bulan Ogos.

“Ini bakal menjadikan Sarawak negeri pertama yang akan selesai imunisasi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Khairy berkata, untuk melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 di Sarawak, negeri itu memerlukan purata kira-kira 45,000 suntikan setiap hari sehingga akhir Ogos.

Beliau berkata, oleh itu pihaknya bersetuju untuk membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), menambah kakitangan di PPV serta meluaskan pemberian vaksin di klinik pengamal perubatan am dan hospital swasta.

“Kita juga akan gerakkan ‘mobile outreach team’ yang akan pergi ke kawasan pedalaman serta rumah panjang.

“Selain itu, PPV akan dibuka di kawasan kilang dan ladang bagi pekerja industri mendapatkan vaksin tanpa perlu ke bandar,” katanya.

Khairy juga berkata, komitmen penghantaran vaksin ke Sarawak tidak bermakna kerajaan Persekutuan tidak akan memfokus kepada penghantaran ke negeri lain.

“Saya boleh beri jaminan kepada penduduk di Lembah Klang dan Kuala Lumpur di mana kes adalah tinggi ketika ini bahawa kami akan mempertingkat vaksinasi di sana,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here